Khamis, 28 Oktober 2010

Didikan akhlak cegah remaja terbabit gejala sosial

PELBAGAI jenis gejala tidak sihat terus bernanah menjadi ‘penyakit masyarakat’. Banyak pihak menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah bagi membendung permasalahan ini.
Bagaimanapun, usaha itu tidak meninggalkan kesan dan masyarakat terus diganggu kes culik, bunuh dan rogol bukan saja di kalangan dewasa, malah kanak-kanak bawah umur. Jika keadaan dibiarkan, akan membawa kesan kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.
Strategi mencapai tahap negara maju yang diimpikan dalam wawasan perdana memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjana kemajuan seiring proses pembangunan rohani masyarakat.
Nasihat-menasihati dan ingat-mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung kepada keupayaan diri seseorang.
Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)
Sesuai keadaan mengejar kemajuan yang begitu drastik, wajar kesedaran semua pihak dipertingkatkan memandangkan kemajuan yang dicita-citakan adalah tanggungjawab bersama. Justeru, tugas membendung dan membanteras gejala sosial perlu dipikul bersama.
Hadis Rasulullah menyatakan setiap mukmin perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku depan mata sama ada dengan lidah, tangan dan jika tidak mampu, dengan bisikan hati menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap kemungkaran yang berlaku.
Ibu bapa dan penjaga anak dalam usia remaja, pengawasan ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelak mereka mudah terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial yang tidak langsung mendatangkan manfaat kepada diri mereka.
Bukan setakat mengawasi dan mengawal pergerakan mereka, ibu bapa perlu mengisi kehidupan berkeluarga dengan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan diiringi nilai kasih sayang yang berpanjangan.
Anak memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa. Justeru, jika ibu bapa dengan sengaja atau tidak, mengabaikan tanggungjawab kerana sibuk mengejar kemajuan diri dan keluarga tanpa mempedulikan anak, siapakah yang harus dipersalahkan?
Kita bersyukur dengan tindakan dan langkah drastik yang diambil kerajaan Pusat serta kerajaan negeri untuk menyekat jenayah berat yang dikatakan banyak menyumbang ke arah kegawatan gejala sosial yang melanda negara.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Masyarakat setempat hendaklah sensitif dengan keadaan sekeliling dan saling membantu menjaga kebajikan serta keselamatan sesama jiran. Amalan ini mungkin dianggap lapuk, tetapi perlu dihidupkan semula.
Pihak berwajib seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu berbincang dan berganding bahu mewujudkan pusat pengajian al-Quran dengan segala kemudahan seperti pengangkutan.
Sejak awal lagi anak perlu ditanam supaya membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf. Didikan awal inilah yang biasanya melekat dalam sanubari mereka. Apabila dewasa, mereka akan mudah menolak segala bentuk kemungkaran kerana adanya benteng daripada dalam diri.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu.”
Sesuai dengan sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”, maka proses pendidikan yang kuat dan mantap akan menjamin program jangka panjang itu berhasil.
Golongan dewasa perlu menunjukkan qudwah hasanah dengan berakhlak mulia supaya dapat diteladani anak muda ini. Mereka perlu berperanan sebijak mungkin dan menyedari kedudukan sebagai pembina sahsiah anak, bukannya perosak dan peruntuh.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan sebarkanlah bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana mengharapkan) perhiasan dunia dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya Kami lalaikan dari mengingati Kami, dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batasan.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan