Khamis, 28 Oktober 2010

Nilai-Nilai Kepimpinan Islam yang Unggul

Di sini, kita mendapat beberapa pengajaran..
1) Merendah diri ketika berkedudukan tinggi
2) Memiliki sikap pemaaf saat mampu membalas dendam
3) Bersikap adil ketika kuat dan berkuasa
Sebenarnya, ketiga-tiga nilai dan adab kesopanan seseorang penguasa ini sangatlah sukar untuk dilaksanakan. Ketiga-tiga nilai itu adalah merendah diri, pemaaf dan adil.
Merendah diri pada kedudukan tinggi
Mari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri?
Mungkin ada yang masih dapat merendah diri, tapi tak ramai penguasa yang boleh dengar pandangan orang ketika mereka sudah berada di puncak kekuasaan. Rata-ratanya, mereka melihat pandangan orang bawahan itu bagaikan sampah.
Turun padang tidak menggambarkan sikap merendah diri. Pada zaman ini, politikus hebat berlakon. Penguasa turun padang, beramah mesra dan berjabat tangan dengan rakyat. Hal ini masih belum menunjukkan mereka merendah diri.
Merendah diri itu bukanlah dengan jalan tunduk, terbongkok-bongkok di hadapan tetamu, bersuara lembut dan lunak kepada khalayak. Tetapi, ia dinilai dalam mesyuarat dan syura antara komuniti masyarakatnya. Adakah mereka boleh dengar pendapat bawahan?
Jadi, jalan turun padang, bersalaman dengan orang-ramai seperti yang ditunjukkan dalam tv itu bukan kayu ukur yang kuat, untuk mengesahkan sikap, af’al merendah diri.
Memaafkan musuh ketika berdaya membalas
Sikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Jika hal ini terlaksana, rakyat kita pasti bertambah lega dan aman. Ini kerana, telah wujud kecenderungan di pihak penguasa untuk menghukum rakyat apabila mereka tidak dipilih oleh rakyat.
Dalam mana-mana keadaan, kita dapat melihat bahawa kebanyakan penguasa berdendam dengan rakyatnya. Dan dengan sebab itulah rakyat jadi berdendam dengan penguasa.
Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat nabilah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali k.w misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.
Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.
“Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?” tanya lelaki itu.
Maka, jawab Ali, “Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah.”
Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.
Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.
Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.
Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.
Bersikap adil ketika kuat dan berkuasa
Sikap ketiga ialah adil ketika kuat dalam menjalankan pemerintahan. Dalam contoh yang terjadi dalam negara kita ialah bentuk hubungan kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Jadi, oleh kerana perbezaan politik, kerajaan pusat lazimnya tidak dapat berlaku adil.
Apatah lagi, jika hal itu melibatkan wang, agihan ekonomi yang sepatutnya diterima oleh negeri yang diperintah pihak parti alternatif. Mereka masih lagi sukar mendapatkan wang peruntukan daripada kerajaan pusat.
Sebaliknya, kerajaan negeri cuba memberikan peruntukan ke atas wakil rakyat kerajaan pusat, namun hal itu ditolak oleh mereka dengan alasan yang bukan-bukan.
Kita tak perlu meninjau sikap para pemimpin terdahulu untuk muhasabah, cukup melalui apa sahaja contoh yang terbentang di depan mata kita. Kita tidak perlu beramal dengan isi al-Qur’an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik.
Moga-moga kita menjadi sebahagian daripada pemimpin-pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang disebutkan di atas dan menjauhi kepada sikap dan perilaku pemimpin yang zalim, jahat dan tidak adil ke atas orang yang dipimpinnya.Waallahualam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan