Khamis, 28 Oktober 2010

Perspektif Ikim: Belia Islam mesti berjiwa ilmuwan


GOLONGAN muda adalah pelapis kepada kecemerlangan yang dirintis oleh generasi sebelumnya. Kelangsungan kecemerlangan bangsa akan berterusan sekiranya pelapis yang ada memahami peranan mereka yang sebenar dalam aliran pembangunan iaitu sebagai kelompok yang akan menentu dan meneruskan nasib agama, bangsa dan negara.
Tetapi, jika dilihat kepada suasana yang melanda golongan muda dewasa ini, kita akan dapati ada segelintir yang seolah-olah tidak berasakan bahawa diri mereka penting atau mempunyai kepentingan kepada negara.
Jadi tidak hairanlah kalau saban hari media massa menyiarkan berita salah laku remaja dan belia. Gejala mat rempit, penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, perilaku tidak berakhlak dan sebagainya sering dikaitkan dengan salah laku golongan ini.

Perkara ini sesuatu yang amat menyedihkan. Lebih menyedihkan lagi, sebahagian besar belia ini adalah belia Muslim.
Persoalannya sekarang, adakah belia Muslim tidak mempunyai ketahanan diri yang kuat sehinggakan mereka tidak lagi dilihat sebagai harta kepada negara, sebaliknya menjadi bebanan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak? 
Tidakkah kita sebagai satu kaum yang diserasikan dengan ajaran Islam berasa malu atas apa yang melanda golongan belia ini? Adakah golongan belia itu sendiri mempunyai kesedaran bahawa mereka adalah harta negara yang tidak ternilai, justeru, mereka perlu menghargai diri mereka dengan melakukan pengisian bermanfaat dan berfaedah? Atau siapa yang patut disalahkan apabila belia kita tersungkur sebelum sempat mencapai usia kedewasaan yang sebenar dan seterusnya menyumbang kepada arus pembangunan negara?

Cuba bandingkan sumbangan belia pada zaman awal kemunculan Islam dengan belia sekarang terhadap pembangunan ummah, perbezaannya amat ketara sekali. Ketika Usamah bin Zaid berusia 18 tahun, beliau mengetuai angkatan tentera Islam untuk berperang dengan tentara Rom di Bilad al-Sham. Sedihnya, pada usia belasan dan dua puluhan, ramai remaja hari ini lebih gemar bermotosikal dan membuat aksi yang bukan saja berbahaya kepada diri mereka malah pengguna jalan raya lain.

Ketika kaum Quraisy mengepung rumah Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali bin Abi Talib mengambil iktibar bertukar tempat tidur dengan Baginda bagi mengaburi musuh Islam dan seterusnya membolehkan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Bertitik tolak daripada penghijrahan ini, agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia. Tetapi, pada usia belasan tahun seperti yang pernah dilalui oleh Saidina Ali bin Abi Talib ini, ramai remaja Muslim yang menjadi hamba kepada dadah. Natijahnya kebanyakan penagih dadah adalah golongan belia Melayu.

Masih ingatkah lagi kita kepada peristiwa tunjuk perasaan prodemokrasi di Medan Tiananmen, China pada pertengahan 1989? Golongan pelajar bergabung dengan cendikiawan dan aktivitis mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menuntut amalan demokrasi dilaksanakan di negara itu.

Tetapi, di negara kita beribu-ribu golongan muda lebih teruja untuk tampil di konsert hiburan. Malah, seakan-akan menjadi satu aliran ikutan baru di kalangan muda mudi di negara kita untuk mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan mencari bakat baru dalam bidang hiburan dan nyanyian.

Dengan kata lain, keghairahan belia sekarang lebih tertumpu kepada dunia hiburan dan pesona dunia semata-mata. Mereka tidak lagi mempunyai kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan menerusi wadah pendidikan seperti yang dicapai oleh Imam Shafie, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan ramai ilmuwan Islam lain.

Imam Shafie ketika berusia 15 tahun, sudah dikira layak untuk membuat fatwa, sedangkan dalam usia mentah sebegini, remaja kita masih lagi terkial-kial membentuk jati diri masing-masing serta leka dengan hiburan yang melalaikan.

Ibn Khaldun ada menyatakan bahawa antara tanda awal kemusnahan sesebuah tamadun ialah apabila kehidupan masyarakatnya penuh dengan hiburan dan perhiasan.

Sejarah membuktikan bahawa sekuat mana bangsa itu, kalau tidak ditunjangi oleh budaya ilmu yang baik, ia akan hanya melakukan kerosakan di bumi dan suatu hari nanti pasti ia juga akan mengikut nilai tamadun bangsa lain.

Siapa tidak kenal Hulagu Khan mahupun Timurlan. Mereka adalah keturunan Genghiz Khan yang terkenal sebagai bangsa yang ganas dan kejam. Mereka diakui berjaya dalam penaklukan, tetapi gagal dalam bidang peradaban lantaran tidak mempunyai asas keilmuan yang baik. Akhirnya, selepas melakukan kerosakan ke atas tamadun Islam, Hulagu dan Timurlan memeluk Islam.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan