Khamis, 28 Oktober 2010

(Realiti) Golongan Belia Di Malaysia Lebih Cenderung Memilih Pembangkang


Benarkah pada hari ini, secara realitinya kita dapat lihat golongan Belia di Malaysia lebih cenderung memilih parti pembangkang dari kerajaan? Sebagai seorang rakyat Malaysia, dan juga berada dalam kelompok belia, saya merasakan ianya adalah benar! Benar kerana ia adalah realiti pada kehidupan politik kini.
Pertama sekali, di Malaysia, Belia didefinasikan sebagai seseorang yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun. Namun dalam hal ini, suka saya untuk menggunakan golongan mereka yang berada dalam 2 kelompok belia yang dipanggil Golongan Belia Penuntut (IPT) dimana skop umur mereka adalah di antara 18 hingga 25 tahun dan Golongan Belia Industri yakni mereka yang berumur di antara 20 hingga 30 tahun. Alasannya adalah kerana topik ini berkaitan kecenderungan belia memilih pembangkang dan mereka yang berhak bersuara dan menentukan hala tuju Kerajaan adalah mereka yang layak mengundi (umur 21 tahun keatas).
Jika benar situasi seperti ini berlaku di Malaysia, ianya satu petanda buruk buat Kerajaan dan tentunya senario baik buat pembangkang. Benar atau tidak, golongan belia sekarang dilihat mempunyai pandangan kritikal terhadap politik. Mereka ingin bersuara dan bergiat aktif, namun ada sesetengahnya dihalang oleh protokol tertentu terutama di Pusat Pengajian Tinggi. Hal ini membuatkan mereka-mereka ini berpecah kepada dua kelompok yakni pertama, golongan yang akan berada “atas pagar” akibat “malas” untuk mendaftar sebagai pengundi dek kerana dari kongkongan perkara diatas.  Orang-orang seperti inilah yang selalu mencacatkan Pilihanraya di negara kita.
Golongan kedua pula adalah mereka yang taksub dengan politik, taksub sehinggakan mahu sesuatu perkara diubah! Golongan ini adalah dari mereka yang mengambil tahu hal-hal politik tanah air, tetapi mempunyai pandangan negatif dalam sesuatu hal. Biasanya, mereka-mereka ini terdiri dari golongan yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Contoh mudah adalah berkenaan polemik Akta Universiti dan Kolej (AUKU) yang didesak oleh sesetengah pihak untuk dihapuskan.
Ekoran dari 2 kelompok ini, kita dapat lihat bahawa kita sudah kehilangan pengundi di golongan pertama. Bagi mereka, siapa yang memerintah, tidak kisah, asalkan mereka ada kerja, ada gaji, hidup aman! Bagi kelompok kedua pula, mereka juga dilihat mempunyai dua pilihan samada untuk mendiamkan diri apabila tiba saat daftar pemilih ataupun mereka mendaftar sebagai pemilih, tetapi sebagai tanda protes dari perjuangan mereka dahulu. Sebagai tanda protes, mereka akan bersama dengan pembangkang.
Jika diliihat daripada sudut itu, secara logiknya, Kerajaan sudah kehilangan segelintir penyokong mereka manakala pembangkang berjaya meluaskan empayar mereka.
Bukan itu sahaja, pendekatan yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya dilihat tidak relevan untuk memikat hati pengundi golongan belia. Kebanyakan program-program untuk menarik golongan belia dilihat lebih “syok sendiri” dengan menjadikan wang dan keramaian sebagai senjata. Perkara ini harus diambil perhatian oleh BN. Bukan mudah untuk mengambil hati golongan belia ini, bukan hanya dengan penganjuran “pesta” dan menjemput artis-artis ternama dan konvoi sana-sini dapat memberikan jaminan kepada BN bahawa mereka sudah mendapat kepercayaan dari Belia. Hasilnya selepas pilihanraya, pembangkang juga yang menang.
BN harus meniru gaya pembangkang dalam mengambil hati golongan belia. Lihat sahaja pembangkang, mereka “menari mengikut rentak” dari golongan belia ini. Ini kaedah yang berkesan, mereka turun, mereka menghayati, mereka berfikir, meniru cara dan bertindak mengikut cara golongan ini.
Pembangkang tidak perlu berhabisan berjuta-juta, cukup dengan psikologi.. mereka ikut rentak belia, ikut apa yang belia mahu. Sebagai contoh, blog adalah salah satu tempat belia menghentam kerajaan kerana ianya dikatakan tempat bersuara mereka. Jadi, pembangkang telah mengambil langkah dan cadangan untuk membukukan hasil tulisan mereka ini. Menarik! tiada syarat, tiada sekatan dan mereka bebas mengkritik, menghentam dengan apa cara sekalipun. Dengan cara ini, sebagai belia, ia adalah satu kepuasan kerana suara mereka didengari.
Pembangkang juga banyak mengangkat golongan belia dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan belia. Mengambil bahagian bukanlah bermaksud menganjur dan menjadi kepala dalam aktiviti tersebut, tetapi sekadar memberi sokongan padu. Hal ini berlainan dengan BN yang menganjur program untuk belia. Lihat! beza bukan? BN Menganjur program dan mengumpul belia, sebaliknya pembangkang menyertai program yagn dianjurkan belia. Cara yang digunakan pembangkang dilihat lebih “friendly” dan menunjukkan bahawa mereka sentiasa bersama belia dalam apa keadaan.
Sebenarnya, dilema belia lebih cenderung memilih pembangkang adalah salah dari BN sendiri. BN sepatutnya akur bahawa cara mereka selama ini hanyalah bersifat sementara dan sekadar untuk berseronok. Untuk itu, jika mahu memenangi hari pengundi muda, Kerajaan melalui BN harus meneliti semula langkah-langkah dan program yang akan dianjurkan. Seeloknya, golongan belia sewajarnya didekati oleh belia juga, baru kena cara.
Media massa juga harus berubah, janganlah hanya pro kepada sesuatu pihak. Satu masa dahulu, sebelum NTV7 dibeli oleh Media Prima, anda akan perasan bahawa saluran berita itu menyiarkan berita yang telus dan tidak memihak kepada mana-mana pihak, jika PKR yang betul, maka berita tersebut akan memuji kepimpinan PKR, begitu juga jika BN yang betul, mereka akan lakukan hal yang sama.
Akhbar arus perdana khususnya UTUSAN, harus lari dari berkiblatkan BN. Hal ini bagi membolehkan media itu tidak hanya dibaca oleh golongan pro kerajaan sahaja dan dilihat hanya sesuai dibaca oleh “warga emas” sahaja. Mengapa? Apabila sesuatu akhbar tidak memaparkan berita dengan telus dan hanya memihak kepada satu-satu pihak, dengan pengetahuan dalam teknologi maklumat, golongan belia lebih cenderung untuk membaca berita-berita di internet walhal tidak diketahui kesahihan. Disinilah juga bermulanya perang psikologi bagi golongan belia.
Jika Kerajaan tidak memandang serius hal ini, tidak mustahil pembangkang dapat mengambil alih pemerintahan negara pada PRU akan datang, paling tidak pun, Kerajaan akan kehilangan beberapa buah negeri lain yang akan jatuh di tangan pembangkang. Ingatlah, golongan belia adalah golongan penyumbang terbesar dalam menentukan jatuh bangun negara kita dalam pilihanraya. Cara terbaik adalah dengan mendampingi mereka dan mendengar keluhan hari mereka.. ibarat berkawan dengan mereka.. Wallahuaklam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan