Khamis, 28 Oktober 2010

sejarah tawau


Tawau adalah sebuah daerah yang terletak di Pantai Timur Selatan Sabah dengan kedudukan Latitude 4.298ºN Longitude 117.883º E yang merangkumi keluasan 612,506 hektar atau 6,125km persegi. Daerah Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia di Selatan serta dikelilingi Laut Sulu di Timur dan Laut Sulawesi di bahagian Selatan.

Tawau mempunyai 10 mukim dan 81 kampung yang terhimpun dalam dua kawasan Parlimen iaitu Parlimen Tawau dan Parlimen Kalabakan. Dalam Parlimen Tawau terdapat tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sri Tanjung, Apas dan Balung manakala Parlimen Kalabakan pula mengakumi Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik.
Menurut catatan sejarah, Tawau telah pun berpenduduk dengan sebuah perkampungan nelayan yang kecil dengan 200 orang penduduk pada tahun 1898. Pada ketika itu Tawau berada dibawah pemerintahan Kesultanan Sulu. Dalam satu perjanjian yang termeterai pada 22 Januari 1978, Kesultanan Sulu menyerahkan kawasan di persekitaran Tawau yang wujud masakini kepada pihak Inggeris.
Tawau menjadi sebahagian daripada kawasan jajahan orang-orang Inggeris iaitu melalui Syarikat (Berpiagam) Borneo Utara. Mengikut catatan The North Borneo Annual Volume (1955-1965). Piagam itu menyatakan sistem pentadbiran bermula pada tahun 1898, iaitu berikutan langkah-langkah pihak Syarikat (berpiagam) Borneo Utara membuka sebuah penempatan di Tawau dan seterusnya mengadakan asas-asas pentadbiran Kerajaan Tempatan di situ.
Untuk mengelak perselisihan faham dengan Belanda yang memerintah Indonesia pada masa tersebut, Inggeris telah mengambil langkah-langkah untuk menetapkan sempadan. Ini disebabkan sempadan asal bagi kawasan yang telah diserahkan kepada pihak Inggeris oleh kedua-dua Sultan Brunei dan Sultan Sulu ialah di bawah Sungai Sibuco berdekatan dengan Tarakan (Indonesia) yang mana kawasan tersebut termasuk di bawah pemerintahan Belanda yang ketika itu telah sedia ada menghuni di kawasan tersebut. Berikutan itu satu Suruhanjaya Sempadan telah ditubuhkan pada tahun 1912 yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari United Kingdom dan Belanda.
Sebuah Laporan Bersama telah disediakan beserta dengan peta dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya masing-masing di Tawau pada 17 Februari 1913. Kemudian mengikut protokol di antara United Kingdom dan Belanda yang telah ditandatangani di London pada 28 September 1915, kedua-dua kerajaan mengesahkan laporan bersama beserta kandungan peta tersebut.
Sehingga 1930an, Tawau berkembang dengan pesatnya dalam bidang pertanian dengan pembukaan Ladang Getah Kuhara, Ladang Tembakau Manila dan Ladang Kelapa Kubota. Pada ketika itu, sudah ada dua deretan kedai yang semuanya dianggarkan berjumlah 60 rumah kedai di Jalan Dunlop dan Jalan Man Cheong. Jalan Dunlop diambil sempena nama Pegawai Daerah ketika itu, A.R Dunlop dan Jalan Man Cheong pula adalah sempena nama kedai kopi yang popular ketika itu.
Pada Perang Dunia Pertama (1914-1918), Tawau tidak mengalami kesan langsung peperangan tersebut melainkan kemerosotan eknominya yang juga berlaku di mana-mana tempat di dunia pada masa tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan